Oleh: MON
Ketahuilah bahawa seorang Mu'min yang mengambil berat tentang agamanya, yang teguh ilmu dan keyakinannya akan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri kearah yang lebih soleh dengan melipatgandakan usahnya tanpa mengira apa hasilnya. Kerana dia sentiasa takut akan takdir Allah S.W.T. Setelah dia berusaha dengan gigih tanpa mengira penat lelah, barulah dia bertawakkal dengan Allah dengan sebenar-benarn yakin, segala rahmat yang diperolehinya sama sekali tidak bergantung dengan usahanya kerana dia tidak bergantung kepada amal baktinya melainkan dengan Kekuasaan Allah Yang Maha Halus mengatur perjalanan alam serta isinya. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Tidak ada seorang pun yang boleh memasuki syurga dengan amalannya. Para sahabat bertanya: Apakah engkau pun sama juga, wahai Rasulullah? Ujar Baginda: Begitu juga aku, melainkan jika Allah melitupkanku di dalam rahmatNya."
Ini dibuktikan dengan Rasulullah sendiri dengan rajinnya banyak mengerjakan amal soleh, sehingga kedua tumitnya bengkak kerana terlampau banyak sembahyang di waktu malam walhal baginda telah dijanjikan syurga. Apatah lagi kita umat yang amat lemah, sering melakukan maksiat kepadaNya.
Meskipun begitu, ada umat yang banyak mengerjakan banyak amal soleh, kemudian dia bergantung dengan suma amalan itu, dia adalah orang yang ujub(megah) dengan dirinya, berani dengan Tuhannya. Mungkin suatu masa kelak, dia akan diuji Allah dengan sesuatu bala', sehingga dia sedar akan dirinya yang bersifat lemah itu dan segala amal solehnya tidak mungkin berlaku, jika bukan dengan rahmat dan kurnia Allah Ta'ala.
Allah berfirman :
" Dan kalaulah tiada kerana kemurahan Allah dan rahmatNya kepada kamu, tiada seorang pun diantara kamu yang bersih buat selama-lamanya, akan tetapi Allah mensucikan orang-orang yang disukaiNya, dan Tuhan itu Maha Mendengar dan Maha Tahu." (An- Nur: 21)
Adalah diceritakan, bahawa seorang hamba Allah telah beribadat kepada Allah Taa'la selama 500 tahun. Pada Hari Kiamat, Allah berkata kepadanya: Wahai hambaKu! Masuklah syurga dengan rahmatKu! Jawab hamba itu dengan protes: Bahkan, ya Tuhan! Masukanlah aku ke dalam syurga kerana amalanku. Maka Allah s.w.t. pun memerintahkan supaya ditimbang segala amalan hamba itu dengan satu nikmat saja; iaitu nikmat melihat. Ternyata berat timbangan nikmat melihat itu menyamai seluruh berat amal ibadatnya, sedang diatas hamba itu masih ada banyak lagi nikmat-nikmat lain yang masih belum ditimbang, maka Allah memerintahkan supaya ia dibawa masuk kedalam neraka. Ketika itulah, hamba itu baru sedar lalu merayu: Ya Tuhanku! Aku terkhilaf, kini masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmatMu! Lalu Allah pun memerintahkan supaya ia dibawa masuk kedalam syurga, seraya Allah yang bersifat Maha Besar dan Maha Tinggi memuji hamba itu .
Jadi, kita perlu mengambil dua langkah dalam meningkatkan iman kita kepadaNya, pertama, memperbaiki amalan kita dan keduanya bergantung kepada Allah dan menyingkirkan selainNya.Kita tidak kemana pun tanpa rahmatNya sedangkan kita wajib beramal menurut perintahNya.
Berkata Syaikh Abu Said Al_ Kharraz r.t :
"Siapa yang mengira, bahawa ia akan sampai kepada Allah Ta'ala dengan amalannya, maka ia adalah seorang yang membuang masa. Dan siapa yang mengira, bahawa ia akan sampai kepada Allah Ta'ala tanpa amalan pula, maka ia seorang yang berangan-angan kosong."
Sebab orang yang berangan kosong itu tiada membekalkan diri dengan apa-apa amalan pun, lalu ia mendakwa menyerahkan dirinya kepada Allah dan mengharapkan rahmatNya. Yang demikian itu adalah suatu sikap yang bodoh dan terpedaya. Segala rahmatNya tidak akan sampai kepada kita melainkan setelah kita berbakti dan beramal soleh seperti yang dikatakan oleh Al-Hassan Al-Bishri r.t:
" Sesungguhnya mencita-citakan pengampunan itu telah memperdaya banyak orang, sehingga mereka meninggalkan dunia ini dalam keadaan bangkrap."
Iaitu tanpa amal soleh sama sekali.
Beliau menambah lagi
"Sesungguhnya orang Mu'min itu berbakti seraya gementar terhadap Allah Ta'ala. Manakala seorang Munafiq pula membuat kejahatan seraya merasa aman dan sentosa sepanjang masa."
Sifat ini agak terbalik kerana sifat bersalah sepatutnya ada pada orang yang berbuat salah kerana dikhuatiri akan ditimpa kemurkaan Allah tetapi merasa aman sentosa meskipun berbuat salah kerana hatinya jugak telah terbalik dan mata hatinya telah buta.
Jadi, untuk mendapat keredhaan dan rahmatNya, kita seharusnya berusaha sehabis baik dengan ikhlas tanpa mengira apakah ganjarannya seterusnya hanya berharap pada Allah Ta'ala.
" Ya Allah! Ya Tuhan kami! Berikanlah kami petunjuk, dan pimpinlah kami ke jalan yang Engkau cinta dan redhai. Sebenarnya kami telah menyerahkan diri kami kepadaMu. Wafatkanlah kami sebagai orang-orang Muslimin serta golongkanlah kami bersama-sama orang-orang solihin!"
Rujukan : An-Nashaaih Ad-Diniyah Wal_ Washaaya Al-Imaaniyah ( Nasihat Agama dan Wasiat Iman ) Imam Habib Abdullah Haddad.
Panduan : Kuliah maghrib, Masjid Muhammadi, Kota Bharu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

ermm....pnjg...tp bguna...thanx!!
ReplyDelete